Cuti anak bandar, cuti anak kampung

Pada cuti sekolah lalu, saya membawa anak-anak menonton sekuel ketiga filem Narnia. Kami pilih panggung yang menggunakan teknik 3D. Tetapi anda tahu berapa kosnya? Jangan terkejut, untuk tiket tiga dewasa dan empat kanak-kanak, harganya ialah RM106! Takkan hendak menonton sambil menganga mulut. Kenalah ada makanan ringan. Jadi, kami beli bertih jagung. jagung rebus dan minuman ringan. Sekali lagi saya terkejut, harganya RM88! RM106 campur RM88 = RM194. Campur dengan bayaran parkir di KLCC, jadi RM200 lebih! Bayangkan untuk menonton sebuah filem, kosnya ialah RM200!

Ketika menonton filem tersebut, saya segera terbayangkan nasib ibu bapa yang anak-anaknya lebih ramai daripada anak-anak saya. Kesian. Pada waktu yang sama, saya teringat juga pada nostalgia wayang pacak yang mana di kampung kami dulu, untuk menonton wayang pacak cuma perlu bawa RM1.50 saja sebab tikennya 50 sen, apam balik campur dengan sebekas air, RM1. Kalau satu keluarga, RM10 sudah dikira mewah.

Pada cuti panjang baru-baru ini juga saya membawa anak-anak ke beberapa tempat percutian. Kosnya lebih daripada RM700, termasuk minyak, tol dan makan minum. Kos itu pun dikira sedikit sebab saya terpaksa memendekkan cuti. Bayangkan kalau saya bercuti lama.

Jadi, untuk melayan anak-anak sepanjang cuti persekolahan baru-baru ini, tidak kurang daripada RM1,000 wang saya keluarkan, termasuk pelbagai lagi perbelanjaan seperti membelikan mereka shahiba, saidina, bekalan untuk mereka berjalan dengan kawan-kawan dan sebagainya bagi mengurangkan kebosanan mereka yang 'terkurung' di taman perumahan tengah ibu kota ini.

Tetapi, apa yang saya belanjakan untuk mengisi musim cuti sekolah anak-anak itu tidaklah sebanyak yang dikeluarkan oleh sebahagian daripada kawan-kawan saya. Seorang sahabat misalnya membawa isteri dan empat orang anaknya menaiki kereta api dari Kuala Lumpur hingga ke Bangkok, Thailand dan kemudian bercuti di sana beberapa hari. Boleh anda anggarkan kosnya, termasuk penginapan dan membeli-belah di sana?

Itu belum masuk lagi kos yang dikeluarkan oleh sahabat saya tadi untuk membawa anak- anaknya bercuti di dalam negara pula, membelanja mereka makan, membelikan basikal baru dan sebagainya. Kalau rajin, cuba ambil kalkulator dan anggarkan kosnya. Hahaha... Opss! Saya juga mempunyai sahabat yang membawa anak-anak mereka bercuti ke Eropah, Australia dan China. Kosnya mencecah lima angka, tetapi mereka tidak kisah. Pertama, kerana mereka ada wang. Kedua, kerana sayangkan anak-anak. Ketiga, kerana inilah trend baru masyarakat bandar. Dan keempat, kalau hidup di bandar, anak-anak tidak boleh dibiarkan melangut di rumah. Kalau dibiarkan, mereka akan melilau dengan kawan-kawan. Ini boleh mendedahkan mereka kepada bahaya, jenayah dan pengaruh-pengaruh buruk.

Trend bercuti masyarakat bandar ini sangat jauh berbeza dengan zaman saya kanak kanak dahulu. Dahulu, maksud saya kira-kira 30 tahun lalu, bagi kami yang tinggal di kampung, cuti persekolahan adalah waktu yang sangat menyeronokkan. Kami tidak terkurung di rumah. Kami juga tidak pergi ke Australia, New Zealand, Thailand, London mahupun Perancis, sebaliknya kami merayau ke seluruh pelosok kampung. Habis satu kampung kami pusing, habis semua belukar kami susupi, dari pagi sampai petang. Itulah erti melancong bagi kami anak-anak kampung. Semuanya percuma. Ibu bapa kami tidak pernah pening untuk memikirkan ke mana hendak bawa kami pada cuti sekolah. Ibu dan bapa saya juga tidak pernah membelikan saya shahiba, saidina ataupun MP4, sebab mereka tahu, kami ada permainan lain yang lebih menyeronokkkan.

Pada waktu cuti sckolah itu, kami bermain bola di hadapan rumah. Halaman rumah kami yang penuh batu kerikil itu cukup besar untuk kami bermain enam tujuh orang. Hebatnya, kami bermain tanpa memakai kasut. Tidak perlu bola kulit, bagl kami bola plastik berjalur putih merah pun sudah cukup. Golnya kami tandakan dengan selipar. Sudah puas bcrmain bola, kami main galah panjang. Di tempat saya, permainan ilu dipanggil belon acah dan kami berlari juga ke sana ke mari dengan berkaki ayam. Esoknya kami main polissentri pula sampai bergaduh dan mengejek. Bila sudah bosan, kami main perang perang pula. Senapangnya kami buat scndiri menggunakan papan. Senapang kayu itu tidak boleh berbunyl, jadi kami bunyikan tembakannya dengan mulut saja...

POOMM!! POOMMM!! POOMM! Ataupun, bunyi macam mesingan... TRRRRRRRTTT!!!! TRREEETTTT!!!

Sewaktu 'berperang' kami akan menyorok di belakang dapur rumah jiran, atau di atas pokok nangka, atau di belakang reban ayam. Jiran-jiran tidak akan marah sebab mereka sudah menganggap kami seperti anak mereka juga. Paling teruk pun, mereka akan terkejut dan melatah apabila dengar kami menembak dari balik dapur ketika mereka sedang menggoreng ikan. Lagi, apa yang kami main? Kami potong dahan pokok jambu untuk dibuat kayu hoki. Kalau tidak ada dahan jambu, cambah pokok ubi pun boleh. Bola hoki tidak susah. Kami ambil ‘tali’ getah dari pelan torehan pada pokok getah, kemudian lilit sampai jadi bulat.

Kadang-kadang, kami tarah papan beluti. Tapi bola yang dibuat daripada beluti ini bahaya sedikit sebab pernah terjadi, seorang kawan memukul bola itu menuju tepat ke arah muka saya. Saya tidak sempat mengelak, jadi hanya dapat menunduk saja, dan... TTAANGGG! Aduh! Saya terduduk di tanah. Kepala saya benjol. Rasa berpinar biji mata. Penat bermain hoki, hari berikutnya kami bermain cekontet. Anda tahu apa itu cekontet? Permainan ini nama rasminya ialah konda-kondi. Tetapi di tempat kami, ia dipanggil cekontet. Apa makna cekontet, saya tidak tahu.

Kayu cekontet ini - ibunya panjang sehasta dan anaknya panjang sejengkal - kami buat menggunakan ranting pokok sena yang bunganya berwarna putih dan ungu. Permainan cekontet ini agak berbahaya sebab anak cekontet ini bila dipukul, silap-silap boleh terkena biji mata. Kalau terkena biji mata, boleh buta. Itulah yang terjadi pada kakak saya, cuma nasib baik matanya dapat diselamatkan. Tapi anehnya, walaupun permainan ini berbahaya, kami tidak takut. Malah kami boleh menangkap anak cekontet yang dipukul laju. Dan kami boleh 10 bermain cekontet sampai Maghrib, sampai ibu dan bapa kami menjerit suruh pulang sambil memegang ranting kayu!

Penat bermain cekontet, esoknya kami bermain layang-layang pula. Layang-layang itu buat sendiri menggunakan kertas buku latihan sekolah. Lidi penyapu kami gunakan sebagai bingkai manakala benangnya pula disapu dengan serbuk kaca. Tujuannya, supaya ia memutuskan benang layang-layang kawan apabila bergeser. Atau, kami main gasing, baling tin dengan selipar dan kejar-kejar hingga bergaduh dan bercakaran. Paling seronok, kami beramai-ramai pergi mandi sungai, menyauk ikan, main rakit, mandi hujan dan melastik burung.

Kalau sudah tidak ada aktiviti sangat, kami seorang-seorang menyelinap bawah rumah dan lastik cicak dengan getah. Ataupun, kami tangkap ayam dengan menggunakan jerat tali berumpankan kerak nasi. Kalau sudah bosan sangat, saya akan duduk seorang-seorang bawah rumalh dan korek lubang undur-undur ini menggunakan lidi. Lepas dapat dua tiga ekor, biarkan ia tersengguk-sengguk berjalan di atas simen.

Begitulah seronoknya cuti persekolahan di kampung. Dahulu, di kampung yang hidup penduduknya serba sederhana, cuti persekolahan adalah masa kami benar-benar merdeka. Kami tidak pernah rasa bosan atau rasa terkumng sebab kami boleh merayau seluruh pelosok kampung tanpa rasa takut diculik atau diragut. Musim cuti persekolahan juga menjadikan kami bertambah kreatif untuk mencipta sesuatu. Ball-bearing boleh kami jadikan roda kereta mainan, daun mangga kami jadikan pemaling, daun lalang boleh dijadikan panah, pelepah pisang dan biji getah pula boleh kami jadikan 'alat muzik'.

Kepada ibu bapa kami pula yang hidup menoreh getah, mereka tidak perlu susah-susah memikirkan berapa banyak wang yang perlu dikeluarkan untuk membawa kami bercuti ke luar negara, atau ke Langkawi, mahupun ke Tioman. Ibu bapa kami tahu, kami mempunyai cukup aktiviti untuk dilakukan sepanjang cuti tersebut. Dahulu, dan bagi yang berasal dari kampung, percutian kami adalah murah. Tetapi cuti kami sangat lasak, mencabar keberanian serta mengerah kekuatan fizikal. Cuti kami juga mesra dan menghiburkan, bukannya terkurung di dalam bilik dengan bermain komputer, mendengar MP4 atau melayan iPhone seorang diri.

Begitulah besarnya perbezaan cuti sekolah dahulu dan cuti sekolah zaman Facebook ini. Kepada anak-anak bandar yang dibawa oleh ibu bapa bercuti ke luar negara, atau tempat-tempat percutian mewah, dibelikan barang-barang yang berharga ratusan ringgit, bersyukurlah. Ya... bersyukurlah kerana anda sangat bertuah berbanding kawan-kawan anda di kampung, dan yang ibu bapanya tidak berkemampuan. Bersyukurlah juga kerana percutian mewah itu dihadiahkan oleh ibu bapa anda yang tidak merasainya semasa mereka kecil dahulu, sebab mereka juga berasal dari kampung.

Tetapi, cuba tanyakan pada diri anda, adakah anda pelajari apa-apa daripada percutian itu? Adakah anda dapat rasakan kasih sayang ibu bapa? Adakah anda dapat melihat kebesaran Tuhan yang menjadikan alam ini sebegini indah? Dan yang terakhir, saya ada satu cadangan. Apa kata kalau cuti persekolahan nanti, kita bawa anak-anak balik ke kampung dan ajak mereka bermain permainan-permainan tradisi yang saya sebutkan tadi. Sekurang-kurangnya anak-anak kita dapat mengenal kembali siapa diri mereka yang sebenarnya dan dari mana asal usul mereka. Sambil itu, bolehlah kita mengenang kembali zaman kanak-kanak yang indah dahulu. Macam mana, setuju?

 

Aku insan yang tiada cita-cita
Kisah Benar: Pengalaman hidupku yang pernah jadi s...

Artikel Berkaitan

 

Ikuti Kami Di Facebook

Artikel Pilihan

Coca-Cola merupakan salah satu jenama minuman yang besar dan terkenal di dunia. Lebih daripada 1.9 bilion hidangan minuman dinikmati lebih daripada 200 buah negara setiap hari. Samada anda merupakan s...
Dahulu mudah mencari durian sekitar kawasan Lembah Klang, terutamanya di Petaling Street, Chow Kit, Kampung Baru dan Petalin Jaya. Beberapa tahun sebelum ini banyak juga kawasan yang menawarkan “Duria...
Ia adalah fakta yang diketahui bahawa wanita hidup lebih lama daripada lelaki. Sekiranya anda tidak pernah fikirkan tentang sebab-sebab fenomena ini, kompilasi foto lucu dari kami akan menerangkan ban...
Hidup ni kita kenalah mempunyai perasaan. Kalau tidak ada perasaan, sila meninggal. Kami di sini menyenaraikan beberapa kelakuan yang boleh memberikan kita rasa seronok, gembira, lega, tenang dan seum...
Singapura adalah sebuah negara yang sangat mementingkan kebersihan dan mempunyai undang-undang yang ketat. Walaupun ia sebuah negara yang kecil ia adalah negara yang stabil ekonomi berbanding dengan n...
Kita biasanya berfikir bahawa cara kehidupan kita berbeza dengan orang purba yang mana tradisi pelik, bahasa yang tidak dikenali, dan sebagainya. Tetapi ahli arkeologi menunjukkan bahawa padangan kita...
CITA-CITA harus ada asasnya. Cita-cita bukan halusinasi, ia harus ditunjangi oleh prasyarat dan pemboleh ubah tertentu. Itu pandanganku. Umpamanya jika seseorang itu berada dalam aliran Sastera yang l...
Apakah itu Revolusi Perindustrian?Revolusi Perindustrian bermula di Great Britain. Kebanyakan inovasi teknologi awal berasal daripada British. Perkembangan perdagangan dan kebangkitan perniagaan adala...
ARPG 3D FINAL FANTASY pertama di Malaysia dan Singapore telah dilancarkan, dan akan membawa anda ke penciptaan dunia. SQUARE ENIX telah memberi kebenaran, ARPG FF 3D pertama di Malaysia dan Singapore,...
Kisah ini terjadi pada tahun 2010 dimana ketika itu umurku 25 tahun. Aku seorang lelaki berasal dari pantai timur yang merantau jauh dari keluarga untuk mencari rezeki di Klang Selangor. Aku menyewa s...
Membuang sampah merata-rata adalah perbuatan yang tidak baik. Adalah tidak adil apabila seseorang perlu mengutip sampah yang dibuang oleh seseorang lain. Adakah anda bersikap tidak peduli andai sampah...

Teknologi

Fakta

Filem