Ramalan hari kiamat bohong

21.12.12 telah pun lama berlalu. Jelaslah kiamat sebagaimana diuar-uarkan oleh media Barat tidak berlaku. Hakikatnya kiamat pasti akan berlaku tetapi manusia tetap tidak tahu bila ia akan tiba.

Terbukti pihak yang meneka hari kiamat secara tepat nyatalah suatu pembohongan. Mempercayai kiamat adalah suatu keimanan kepada Allah. Tetapi meramalnya dengan tepat melanggar mukjizat al-Quran. Ini kerana kitab terakhir diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk umat manusia itu menyatakan hanya Allah yang tahu bilanya berlaku kiamat.

Ikuti wawancara bersama Pro-fesor Datuk Dr. Zambri Zainuddin dari Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Malaya berkenaan isu yang melingkari polemik tentang ramalan hari kiamat.

Gerhana 2016 di Kalimantan

Pada tahun 2016, Dr. Zambri Zainuddin bersama Pasukan Penjejak Gerhana Kebangsaan (NETT) dan Persatuan Ahli Falak Selangor akan ke Kalimantan untuk menyaksikan gerhana penuh di sana. Dijangkakan gerhana penuh itu berlaku selama 4 minit. Adakah ini tandanya kiamat akan berlaku pada tahun 2016?

Gerhana adalah bukti kekuasaan Allah untuk manusia renungkan. Matahari 400 kali ganda lebih besar daripada bulan. Namun dengan kebesaran dan kekuasaan Allah, dipertunjukkan bagaimana matahari dapat dilindungkan sepenuhnya oleh bulan.

Gerhana paling lama ialah berlaku pada tahun 2006 di China selama enam minit. Walaupun masa itu tengah hari, keadaan masa itu gelap seperti senja. Jika hendak tahu bagaimana permukaan matahari saksikanlah gerhana ini. Pada waktu biasa kita hanya dapat melihat topografi matahari. Apabila berlakunya gerhana, kita dapat melihat lapisan atmosfera matahari iaitu korona. Jadi gerhana memberi peluang kepada manusia memahami gerhana itu sendiri.

Gerhana 2012 Bukannya Kiamat!

Ramalan orang Maya berlakunya gerhana pada tahun 2012 benar-benar berlaku. Berlakunya penjajaran planet dengan pusat Bimasakti dalam tempoh beberapa ribu tahun sekali. Tersebarlah desas-desus di Internet menyatakan bumi akan bergelap selama tiga hari. Namun ternyatalah ia tidak benar sama sekali. Apabila kita membaca maklumat ini di Internet, kita membayangkan planet akan beratur hingga saling melindungi.

Tetapi taktanya jarak antara planet berjuta-juta kilometer. Jadi walaupun planet berada dalam kedudukan sejajar ia tidak boleh menimpakan bayangnya kepada planet lain. Sebab itulah matahari akan sentiasa bersinar. Apabila tiba 21.12.12 tidak ada apa-apa berlaku pun.

Kiamat Pasti Datang!

Penganut Kristian mempercayai kiamat begitu juga dengan kepercayaan kaum Muslimin. Dalam kitab suci al-Quran terdapat banyak surah yang menceritakan kejadian hari kiamat secara spesifik seperti surah al-Haqqah. Namun Allah tidak menyatakan tarikh tepat bila berlakunya kiamat. Allah menegaskan tiada sesiapa pun yang diberitahu bila berlakunya kiamat itu. Hanya Allah yang tahu.

Kita hanya disuruh bersedia dari segi menyiapkan amal dan bekalan. Menjauhkan dosa dan membanyakkan ibadah dan kebajikan yang membuahkan pahala. Tanda-tanda kiamat pun sudah jelas diberitakan. Antara tanda paling jelas kiamat ialah matahari akan terbit di sebelah barat. Masalahnya, orang Islam kita terikut-ikut dengan ramalan kiamat oleh orang Barat. Soft of the God satu kelab di Barat mengatakan akan berlakunya kiamat pada bulan Januari 2017.

Bahkan kumpulan ini mengatakan pada tarikh itu semua manusia akan mati dan seluruh dunia akan musnah melainkan kumpulan ini. Ini sama dengan filem 20/2 yang mengisahkan hanya orang kaya yang membeli tiket kapal raksasa sahaja yang akan terselamat. Kemudian seorang paderi berbangsa Irish mengatakan kiamat berlaku pada tahun 2013. Seorang paderi lagi menyatakan kiamat akan berlaku apabila Pope yang ke-112 muncul.

Pope yang ada sekarang ini adalah Pope yang ke-111. Selepas Pope yang ke-112 muncul maka dunia akan kiamat. Ada pula yang mengatakan kiamat akan berlaku selepas lima puluh tahun penubuhan negara Israel. Semua ramalan itu adalah tidak benar sama ada dari segi saintifik dan juga dari pandangan agama Islam.

Sumber Nasa

Rata-rata daripada kalangan kita begitu mempercayai ramalan kiamat apabila mereka merujuk laman web NASA seperti imej-imej kemungkinan berlakunya perlanggaran asteroid dan lain-lain yang mengancam bumi. Sebenarnya pada pandangan saintifik, bumi sentiasa berada dalam keadaan terancam. Bumi ini terapung. Hanya graviti yang menetapkan kedudukan bumi dan planet. Antara planet Marikh dan planet Musytari terdapat jalur asteroid yang mempunyai batu asteroid berkilometer panjangnya.

Dikhuatiri asteroid ini berlanggar dan terpelanting ke bumi. Inilah yang dipantau oleh para saintis di seluruh dunia dan NASA. Sebab itu UNESCO telah menubuhkan Near Earth Object Observation (NEO) bagi memantau pergerakan asteroid ini. Dalam beberapa ratus tahun dan ribu tahun sekali bumi akan dihentam asteroid. Selain itu, asteroid tidak dihitung secara trajektori kecuali apabila asteroid berada hampir dengan bumi. Jika ia masih jauh hasil hitungan secara trajektori tidak akan menunjukkan hasil yang tepat.

Apabila asteroid ini berada dekat dengan bumi baharulah saintis dapat mengagak sama ada asteroid itu melanggar bumi ataupun tidak. Selain asteroid terdapat juga komet dan meteor yang menjadi ancaman kepada keselamatan bumi. Gerakan asteroid sangat laju iaitu beberapa ribu kilometer sejam. la boleh menyebabkan tsunami walau ia melalui bumi secara sipi. Terdapat teori mengatakan alam semesta kita tidak lagi mengembang sebagaimana fitrahnya dan sebaliknya sedang mula mengecut lalu akhirnya akan berlaku kiamat. Namun pendapat ini tidak benar dan tidak dapat dibuktikan secara saintifik.

Menurut pengetahuan astronomi yang dimiliki manusia masa kini alam semesta ini masih lagi mengembang namun secara perlahan. Pada jutaan tahun lampau alam semesta ini mengembang dengan pantas. Namun ini juga adalah teori semata.

Ribut Matahari

Allah menjadikan matahari untuk kita mengkajinya. la adalah salah satu tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah yang ada pada alam ini. Matahari secara saintifiknya adalah salah satu bintang yang paling hampir dengan bumi. Bintang-bintang lain berada beribu-ribu tahun cahaya jauhnya dengan bumi. Pada tahun 2000-an dan kemuncaknya pada tahun 2012 dijangkakan matahari mengalami solar maksimum iaitu ribut matahari yang menggila atau Coronal Mass Ejection (CME).

Sebenarnya pada setiap hari, matahari membuang jisimnya sedikit demi sedikit. Apabila berlakunya solar maksimum, boleh berlakunya letupan besar di permukaan matahari seperti bola api yang boleh memberi kesan kepada bumi. Dalam letupan bola api itu terdapat proton dan elektron yang bertenaga tinggi serta bergerak hampir sama dengan kelajuan cahaya.

Semasa proton dan elektron bergerak jika terdapat satelit dalam laluannya maka sistem komputer yang mengawal satelit tersebut boleh cair dan rosak. Jika terdapat angkasawan di laluannya pula, ia boleh mengakibatkan kulit angkasawan itu berubah menjadi hijau iaitu kesan radiasinya sama dengan 80-90 kali radiasi sinaran x-ray. Apabila sinaran yang mengandungi proton dan elektron ini sampai ke atmosfera bumi ia mengakibatkan berlakunya fenomena aurora yang biasanya berlaku di bahagian utara dan selatan bumi.

la berlaku kerana tindak balas antara kandungan kimia dalam atmosfera dengan proton dan elektron. Inilah yang menimbulkan warna-warni di angkasa. Aurora adalah fenomena semula jadi yang Allah ciptakan untuk manusia mengambil pelajaran untuk dimanfaatkan dalam teknologi penyiaran. Manusia belajar daripada fenomena ini dan mencipta televisyen dan sebagainya. Jadi tiada sesuatu pun yang manusia cipta sendiri melainkan diciptakan berdasarkan contoh dan ilham yang diberikan Allah kepadanya.

Sinaran yang mengandungi proton dan elektron bertenaga tinggi ini juga boleh mengakibatkan kecelakaan kapal terbang. Jika ia menembusi atmosfera bumi ia akan mengakibatkan kebakaran pada transformer di bumi seperti berlaku di Quebec, Kanada pada Mac 1989. Dan matahari mempunyai jangka hayat sebagaimana bintang lain yang menempuh kematian atau kemusnahan. Jangka hayat matahari dianggarkan oleh saintis ialah 10,000,000 ribu juta tahun.

Apabila tiba pada hari-hari akhir hayatnya, matahari akan mengembang dengan cepat sehingga melepasi orbit merkuri, orbit kejora dan lalu menuju ke bumi. Jadi fenomena matahari berada sejengkal dari ubun-ubun manusia bukanlah mustahil! Namun usia matahari sekarang dianggarkan baru separuh daripada jangka hayatnya.

Kiamat Terjadi Pada Hari Jumaat

Perlu ditegaskan ini hanya anggaran yang dibuat oleh saintis semata-mata. Tarikh tepat bila berlakunya kiamat, manusia tidak akan tahu. la termasuk dalam urusan Allah yang ghaib lagi tersembunyi. Apa yang pasti kiamat akan berlaku pada hari Jumaat kerana terdapat dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w. Imam Malik menukilkan sebuah hadis dalam kitabnya al-Muwatta' bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya ialah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam a.s, pada hari Jumaat juga dia (Adam) dikeluarkan dari syurga.

Pada hari Jumaat Adam a.s bertaubat dan pada hari itu juga Adam a.s wafat. Rada hari berlakunya kiamat semua makhluk melata di muka bumi akan berteriak kuat pada hari kiamat dari pagi subuh hingga terbit matahari pada hari Jumaat kecuali manusia dan jin. Pada hari itu, kiamat tidak akan mengganggu hamba Allah yang sedang solat dan memohon sesuatu daripada Allah dan segala yang dimohonkan oleh hamba Allah itu akan diperkenankan.

Ateis percaya kiamat tetapi menolak kewujudan Allah. Saintis yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan turut percaya akan berlakunya kemusnahan besar alam semesta ini. Namun mereka hanya beranggapan ia suatu proses semula jadi tanpa campur tangan Tuhan. Ini tidaklah benar kerana apabila ditanyakan kepada mereka siapakah yang menggerakkan bumi, peredaran planet-planet, bintang-bintang? Mereka gagal memberikan jawapan sebaliknya menyatakan ia berlaku dengan sendirinya.

Firman Allah Taala dalam surah al-A'raf ayat ke-54 berbunyi: "Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas 'Arsy. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha suci Allah, Tuhan semesta alam".

Kata 'memerintah' ini adalah hak Allah dan membuktikan kewujudan Allah yang mana gagal dijawab oleh saintis ateis itu tentang siapakah yang menggerakkan seluruh jasad di alam ini. Kata 'memerintah' juga merujuk Allah yang menyebabkan bumi ini berputar dan beredar, matahari itu mengembang atau kejadian CME ataupun menggerakkan asteroid melintasi bumi dan planet.

Allah jugalah yang menentukan sama ada asteroid itu mengenai bumi ataupun tidak. Semuanya hak Allah belaka sekali pun saintis ateis dan semua manusia tidak mempercayainya.

Nota: Menurut Prof. Datuk Dr. Zambri Zainuddin, Universiti Malaya telah membuka program !jazah Sarjana Muda Sains, Syariah dan Astronomi Islam bagi menyediakan saintis-saintis astronomi Islam yang menggabungkan antara pengetahuan saintifik dengan sumber Islam yang merujuk kitab al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang banyak menyebutkan perihai alam semesta ini. Dengan ini, diharapkan segala maklumat melibatkan pengetahuan sains astronomi dari orang Barat dapat ditapis bagi menyelamatkan akidah umat daripada mempercayai ramalan-ramalan sesat seperti ramalan tentang hari kiamat selain umat mempunyai rujukan yang dapat dipercayai.

Takkan ini pun salah!
Merdekanya si belatuk itu
 

Ikuti Kami Di Facebook

Artikel Pilihan

Pada cuti sekolah lalu, saya membawa anak-anak menonton sekuel ketiga filem Narnia. Kami pilih panggung yang menggunakan teknik 3D. Tetapi anda tahu berapa kosnya? Jangan terkejut, untuk tiket tiga de...
Planet bumi kita sentiasa menghasilkan sesuatu mengejutkan manusia seperti ia memaparkan bunga api, ikan-ikan yang berkilauan, gunung-ganang yang besar dan macam-macam lagi. Kami menyediakan gambar-ga...
Wahai anakku!Lihatlah ke arah burung berdada putih di atas pohon itu. Kepaknya berbulu hitam putih bagai salju di tanah hitam. Bulu dari tengkuk hingga ke kepalanya bagai matahari berwarna oren sewakt...
KUALA LUMPUR – Permohonan dan kemas kini maklumat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2018 akan dibuka mulai Isnin 27.11.2017 sehingga 31.12.2017 ini.Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini, be...
Facebook Messenger telah membuat banyak peningkatan sejak setahun yang lalu dan kini anda boleh menghantar gambar resolusi tinggi ke senarai. Bermula hari ini, Facebook melancarkan keupayaan untuk men...
Admin telah menggunakan perisian ini lebih dari 7 tahun dan ianya betul-betul memuaskan. Sekarang ni pun admin masih lagi menggunakannya utk domain http://majalah.me, http://jpjkpptest.com dan lain-la...
PERFUME berasal dari bahasa Latin "per" (Melalui) dan “fumum” (Asap).Zaman dahulu ketika awal muncul minyak wangi, ia diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan. Cara pembuatannya adalah melalui kaedah:Meneka...
Kampung Giethoorn, di Belanda terkenal dengan ciri-ciri yang paling unik iaitu anda tidak akan menemui mana-mana kenderaan seperti kereta, bas, lori atau seumpamannya di sini. Pekan kecil yang indah i...
Robot sudah menjadi kehadiran yang biasa dalam industri perkilangan. Tidak dinafikan bahawa robot-robot di kilang telah membuat aktiviti perkilangan menjadi semakin senang, membolehkan pengeluaran pro...
Jika anda memikirkan betapa banyak perkara pelik dan luar biasa yang terdapat di dunia tetapi tidak merasakan keajaiban kewujudannya. Anda mungkin telah bosan untuk hidup barangkali, tetapi kami pasti...
Sekiranya anda kehilangan cd driver komputer, anda tidak perlu risau lagi. Kini Snappy driver dapat membantu anda dengan mengesan dan menyediakan segala jenis driver untuk semua jenis komputer sama ad...

Teknologi

Fakta

Filem